Header Ads

Anak angkat: Mencontohi sunnah, semai belas ihsan

loading...

MENELUSURI suka duka hidup wanita yang ingin bergelar ibu setelah bertahun-tahun berumah tangga, sememangnya mengundang air mata. Luaran mereka mungkin nampak berbahagia, tetapi jauh di sudut hati, ada rindu yang tidak tertanggung.

Anak angkat: Mencontohi sunnah, semai belas ihsan
Anak angkat: Mencontohi sunnah, semai belas ihsan
Berat mata kita memandang, berat lagi beban perasaan yang mereka lalui. Keinginan mereka ibarat mengejar segunung intan yang tinggit melangit, namun entah bila akan kesampaian.

Membaca dan mendengar setiap luahan bergelar ibu angkat membuatkan saya sedih, sebak dan terharu. Ada yang menceritakan mereka sanggup untuk tidak menggunakan stroller ketika membawa anak angkat keluar bersiar-siar.

Ada yang sanggup mengendong anak di dalam dakapan berjam-jam demi memastikan degupan jantung mereka bertaut. Merasai setiap getaran nadi dan aliran darah yang didoakan serasi. Hanya kerana ingin merasai nikmatnya mengandung dan menjadi ibu.

Mereka ingin bayi angkat tersebut sentiasa dekat dengan mereka bak dakapan ibu sendiri. Kebanyakan dari ibu angkat tidak sedetik pun mahu anak angkat merasa diri bukan dari darah dagingnya.

Meski pun tidak mudah untuk menyayangi anak angkat seperti anak yang dikandungkan sendiri, mereka seboleh-bolehnya mahu berikan kasih sayang dan didikan terbaik.

Berrbekalkan tawakal dan niat yang ikhlas kerana ALLAH, segala-galanya pasti mungkin. Kerana DIA jualah yang mencampakkan perasaan kasih dan belas ihsan tersebut dalam hati setiap manusia.

Garis Panduan

Bagi saya, hati si ibu angkat sangat mulia. Mereka secara langsung telah mencontohi keperibadian nabi junjungan kita Muhammad SAW yang juga mempunyai anak angkat, Zaid bin Harithah.

Sejarah Baginda memberitakan sendiri kepada sahabat-sahabatnya tentang anak angkat baginda. Malah, baginda sendiri semasa kecilnya diserahkan kepada ibu susuan untuk dijaga dan dipelihara. Sirah Nabi ini ada hikmah buat kita untuk dijadikan pengajaran dan ikutan.

Islam ada syarat-syarat dan garis panduan pengambilan anak angkat. Tentang aurat, larangan penggunaan bin kepada ayah angkat dan hal-hal berkaitan faraid.

Paparan WOW kali ini akan memberikan anda sedikit panduan dan gambaran mengenai proses pengambilan anak angkat, termasuk dari sudut pandang agamawan dan prosedur undang-undang. Semoga kita memperoleh kebaikan daripadanya.

Pengakuan 1

Daftar anak angkat mudahkan urusan

Saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman saya mengambil anak angkat secara sah mengikut undang-undang.

Sebelum ini saya tidak tahu bahawa anak angkat perlu dipelihara selama sekurang-kurangnya dua tahun sebelum membolehkan saya memohon untuk membuat pendaftaran sijil anak angkat menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Untuk pengetahuan, anak angkat yang dipelihara sebelum tempoh dua tahun digelar anak pelihara dan bukannya anak angkat seperti yang kebanyakan kita anggap. Saya telah memelihara Nadia sejak dia berumur dua bulan dan saya pernah ke JPN untuk memohon sijil anak angkat.

Tetapi pegawai telah memaklumkan saya prosedur sebenar. Langkah pertama yang saya dan suami ambil adalah membawa Nadia dan ibu kandungnya bersama-sama ke JPN untuk mendaftar. Di sana kami mengisi borang Surat Akuan Berkanun (iaitu Surat Keizinan Pengangkatan).

Dokumen yang perlu ada, sijil kelahiran anak (yang asal), kad pengenalan ibubapa dan sijil nikah (ibu bapa angkat). Orang yang belum berkahwin juga boleh mendaftar untuk mengambil anak angkat.

Borang tersebut perlu diisi dan di stamp (setem hasil) di Lembaga Hasil Dalam Negeri dan dibawa ke Pesuruhjaya Sumpah untuk mendapatkan cop dan tandatangan pengesahan. Borang itu perlu disimpan selama dua tahun.

Selepas dua tahun kami kembali ke JPN dan ambil borang untuk permohonan sijil Pengangkatan. Boring tersebut diserahkan kepada kaunter JPD di mana mereka akan membuka satu fail untuk mendapatkan sijil Pengangkatan.

Kemudian saya dan suami menghadiri satu sesi temu duga di mana Nadia juga dibawa bersama. Proses ini difahamkan untuk melihat keadaan Nadia dan JPN hendak pastikan Nadia selamat dan terjamin ketika tinggal bersama kami.

Setelah ditemuduga baharulah JPN akan menyerahkan sijil Pengangkatan bersama MyKid yang baru. Saya tidak mempunyai masalah besar untk mendaftarkan Nadia sebagai anak angkat kerana mendapat kerjasama yang baik daripada kedua ibu bapa kandung Nadia.

Tetapi yang saya faham sekiranya borang anak angkat yang diisi dua tahun lepas diisi tanpa ibu bapa kandung prosesnya akan panjang sedikit kerana melibatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Saya juga menghadiri beberapa kursus berkaitan anak angkat yang dianjurkan pihak luar dan JKM untuk memudahkan urusan pada masa hadapan. Kini Nadia sudah berumur enam tahun dan urusan persekolahan semuanya berjalan lancar.

Pengakuan 2

Risau masalah wali

Saya tidak tahu asal-usul saya, tetapi pernah diberitahu keluarga angkat ketika saya darjah empat, yang ibu kandung saya warga Indonesia. Tidak tahu sama ada dia masih di Malaysia atau sudah balik Indonesia.

Pada mulanya terkejut dan agak sedih. Baru saya perasan perbezaan paras rupa saya dengan dua orang kakak angkat saya yang saya ingat kami adik-beradik. Keluarga angkat keturunan Jawa Johor, warna kulit mereka sedikit gelap tetapi saya agak cerah. Keluarga angkat saya orang kaya.

Sepanjang dengan mereka saya ditatang bagai minyak yang penuh, saya adalah anak bongsu kepada mereka. Kini saya sudah berada di menara gading, yang merisaukan saya apabila tiba masa saya akan berkahwin suatu hari nanti, siapa akan mewalikan saya.

Keluarga angkat tidak pula memberitahu sejarah bapa saya, cuma menyebut ibu kandung saya sahaja. Kesedaran dan rasa ingin tahu itu kini semakin menghantui saya. Saya mengharapkan kehidupan yang baik dan tidak berdepan masalah itu nanti.

Wahidah, 20, Ulu Tiram

Pandangan Agamawan

Fahami status anak angkat

Islam sangat menjaga kepentingan setiap anak termasuk anak angkat. Setiap anak berhak mendapat hak penjagaan, pendidikan dan kasih sayang daripada ibu bapanya. Merekalah yang akan mencorakkan anak tersebut mengikut acuan masing-masing.

Anak angkat ialah anak orang lain yang dipelihara dan dilayan seperti anak sendiri. Rasulullah SAW pernah mengambil seorang anak angkat bernama Zaid bin Harithah. Baginda menyayangi dan melayan Zaid seperti anak Baginda sendiri.

Dalam Islam, seseorang anak itu hendaklah dinasabkan kepada ayah kandungnya walaupun menjadi anak angkat kepada keluarga lain. Seruan ini terdapat dalam Surah al-Ahzab ayat 5 yang meminta umat Islam agar anak angkat disandarkan kepada nama ayah kandungnya.

Sekiranya ibu bapa angkat tidak mengetahui siapa ayah kandung anak tersebut, hendaklah dijadikan sebagai saudara atau anak jagaan. Contohnya Usamah adalah nama anak angkat, manakala Hazman adalah nama kepada ayah angkat.

Harus anak itu digelar sebagai Usamah Hazman tanpa meletakkan bin atau binti.

Tujuan diletakkan perbezaan ini adalah bagi memelihara nasab dan keturunan anak angkat dan keluarga angkat yang memeliharanya.

Umpamanya masalah penentuan wali perkahwinan. Ramai anak angkat tidak mengetahui statusnya sebagai anak angkat. Keadaan ini boleh mengakibatkan berlaku perselisihan faham, merajuk dan lari dari rumah. Justeru, ibu bapa angkat perlu menerangkan dengan baik.

Anak angkat tidak layak mendapat harta pusaka tetapi layak menerima wasiat, hibah dan wakaf. Ibu bapa yang mahu menjaga kemaslahatan anak angkatnya boleh membuat wasiat awal atau menyediakan harta hibah kepada anak angkat mereka.

Walau bagaimanapun, ibu bapa dinasihatkan membuat catatan dan perundangan bagi memastikan perselisihan antara keluarga kandung dan anak angkat boleh dikurangkan.

Bagi mengelakkan masalah aurat dan pergaulan, ibu bapa dinasihatkan menjadikan anak angkat sebagai anak susuan. Apabila anak angkat jadi anak susuan, hukum aurat dan pergaulan menjadi halal.

Pandangan Kaunselor

Urus emosi secara rasional

Saat seseorang remaja itu mengetahui bahawa mereka adalah seorang anak angkat ia merupakan saat yang amat signifikan dalam hidup mereka.

Bayangkan selama ini mereka hidup dalam keluarga yang dianggap sebagai keluarga kandung dengan panggilan “ibu ayah”, “papa mama” mahupun “ummi abi” tanpa mengetahui status sebenar mereka adalah sekadar anak angkat kepada pasangan penjaga mereka. Sememangnya emosi remaja ini akan mengalami gelora di mana mereka akan berasa kehidupan mereka selama ini adalah satu pembohongan.

Pembohongan dengan kasih sayang yang dianggap palsu oleh mereka kerana tahu bahawa insan-insan yang menyayangi mereka selama ini bukanlah ibu bapa kandung.

Remaja yang mengetahui mereka anak angkat pada saat mereka menginjak ke peringkat umur yang inginkan perhatian dan kebebasan pastinya akan rasa terbeban akibat situasi yang tidak terjangka ini di mana keluarga yang mereka menumpang kasih selama ini hanyalah keluarga angkat.

Remaja ini akan beranggapan bahawa mereka adalah anak yang tidak diingini oleh keluarga kandung mereka.

Fikiran tentang status mereka pastinya akan menambah gelojak emosi mereka.

Situasi ini memerlukan pengurusan emosi yang rasional oleh remaja yang mengetahui bahawa diri mereka adalah anak angkat. Remaja ini harus bersyukur walaupun berada dalam keluarga angkat tetapi mereka dijaga, diasuh, dibelai dan dididik tanpa sebarang isu berkenaan status mereka.

Ibu bapa angkat dan keluarga angkat menerima mereka tanpa sebarang prejudis dan syarat sehingga sanggup berkongsi susah senang bersama.

Remaja yang mengetahui mereka adalah anak angkat harus sedar bahawa kesanggupan ibu bapa angkat ini menerima kehadiran mereka dalam keluarga angkat tersebut adalah satu rahmat dalam kehidupannya.

Anak-anak remaja ini perlu memikirkan jika tanpa usaha dan kesungguhan ibu bapa angkat itu mahu mengambil mereka maka di manakah mereka akan berada hari ini.

Jangan terlalu emosional apabila mengetahui diri sekadar anak angkat. Remaja harus sedar bahawa tindakan keluarga angkat memberitahu tentang status mereka ini bukanlah sebagai satu penolakan ataupun ketidakadilan tapi ia adalah satu tanggungjawab oleh ibu bapa angkat tersebut yang rela memberitahunya.

Ibu bapa angkat ini sendiri berdepan dengan risiko bakal kehilangan anak angkat yang pastinya mahu mencari keluarga kandung mereka itu nanti.

Sebenarnya remaja yang diambil sebagai anak angkat dan mengetahui bahawa mereka sebenarnya mempunyai keluarga kandung adalah dalam golongan yang bertuah kerana mereka sebenarnya mempunyai dua keluarga.

Remaja ini harus melihat aspek positif yang sedang dialami mereka selama tinggal dengan keluarga angkat.

Sememangnya tidak salah untuk berasa sedih dan terkejut dengan penjelasan berkenaan status diri mereka, namun remaja harus melihat pada situasi dirinya sekarang.

Keluarga angkatnya pastinya akan berkongsi tentang keluarga kandung remaja terbabit dan tiada salahnya untuk berjumpa dengan insan yang melahirkan kita.

Ibu bapa angkat pastinya sudah bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini dan remaja yang merupakan anak angkat kepada pasangan ini seharusnya menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka selama ini.

Sekiranya permasalahan ini terus membelenggu diri, tidak salah berkongsi dengan kaunselor yang pastinya sedia mendengar dan membantu.


Sumber : SH
Loading...

1 comment:

  1. Assalamualaikum admin.....Sy sedang mencari bby utk dijadikan ank angkt.....x kisah Bby boy@ girl,sah taraf atau tidak....Sy sedia terima..

    Sy dh kawin 5 tahun...tggl kt kedah.bkerja di rumah sbg tailor,umur 28.
    Suami kja government,umur 30.
    Boleh cll @ wassap no sy 019-4277491

    ReplyDelete

Powered by Blogger.