Johor, negeri terbaru mula terjejas dilanda banjir

Johor, negeri terbaru mula terjejas dilanda banjir

Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua daerah di negeri berkenaan mula terjejas, manakala keadaan di Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak tidak banyak berubah, setakat tengah hari ini.

Johor, negeri terbaru mula terjejas dilanda banjir
Johor, negeri terbaru mula terjejas dilanda banjir
Di Johor, daerah Kluang dan Muar mula terjejas banjir dengan sebanyak 214 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan mulai hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata di Kluang, sejumlah 201 orang termasuk empat bayi daripada 46 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan manakala 13 penduduk di Bukit Kepong, Muar dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan.

"Kesemua mangsa di Kluang ditempatkan di Balai Raya Kampung Paya Palembang, Balai Raya Mardi, Mukim Renggam, Balai Raya Kampung Mengkibol dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kencana. Penduduk di Bukit Kepong pula dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata paras air di lokasi terjejas banjir semakin meningkat.

Di Kelantan, keadaan banjir yang semakin buruk menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang ke negeri itu bagi meninjau situasi semasa bencana tersebut.

Muhyiddin mengarahkan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang kini melebihi 32,000 orang.

Beliau turut mengarahkan agar bekalan barangan keperluan seperti makanan ditambah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) daripada tiga hari kepada seminggu, antaranya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 31,001 orang berbanding 30,147 pada sebelah pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di 98 pusat pemindahan banjir di empat daerah.

Kebanyakan mangsa dari daerah Kemaman yang kini mencecah 21,381 orang, diikuti Dungun (7,979), Kuala Terengganu (1,369) dan Hulu Terengganu (272).

Besut merupakan daerah terbaharu pulih daripada banjir hari ini apabila baki 317 mangsa di dua pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan termasuk Jalan Chukai ke Air Putih, Cheneh Mak Lagam dan Jalan Chukai Utama.

Di Kuantan, jumlah mangsa banjir kekal 35,736 orang dengan kebanyakan mereka di daerah Kuantan yang merekodkan sejumlah 19,924 mangsa, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,119 orang berbanding 5,530 mangsa pagi tadi, membabitkan tiga kawasan di Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah.

Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir kini 2,914 orang, Kuala Kangsar (2,579) dan Hulu Perak (626). – Bernama


Sumber : MalaysiaHronicle



Post a Comment

Previous Post Next Post