Hampir 70,000 dipindahkan ke Pusat Banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak

Hampir 70,000 dipindahkan ke Pusat Banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak

Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak semakin meruncing setakat malam ini dengan 69,549 orang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir, berbanding 68,117 orang pada sebelah petang.

Hampir 70,000 dipindahkan ke Pusat Banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak.
Hampir 70,000 dipindahkan ke Pusat Banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di sembilan jajahan meningkat sedikit pada malam ini apabila 34,955 orang dipindahkan, berbanding 34,491 orang pada petang tadi.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, ia membabitkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Kota Baharu.

Paras air beberapa batang sungai utama terus naik dengan Sungai Kelantan di Tangga Krai kini 34.11 meter melepasi bahaya 25m, Jambatan Guillemard 22.63m (bahaya 16m) dan di Tambatan Diraja 6.88m (bahaya 5m).

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang adalah 10.41m melepasi bahaya 9m.

Di TERENGGANU, mangsa terjejas banjir meningkat semula kepada 29,082 orang atau 7,172 keluarga malam ini, berbanding 28,541 petang tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu setakat ini Kemaman masih kekal dengan paling ramai mangsa iaitu 19,311 orang diikuti Dungun 7,478 orang, Kuala Terengganu (1,600), Besut (383) dan Hulu Terengganu (310).

Pusat operasi yang masih dibuka pula 109 iaitu Besut (tiga), Dungun (37), Hulu Terengganu (tujuh), Kemaman (51) dan Kuala Terengganu (12) manakala pusat pemindahan di Marang ditutup petang ini.

Di PERAK, jumlah mangsa yang dipindahkan di ketiga-ketiga daerah iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Perak Tengah, yang terjejas akibat banjir setakat malam ini meningkat kepada 5,512 orang melibatkan 1,382 keluarga.

Menurut jurucakap MKN Perak, kesemua mereka ditempatkan di 47 pusat pemindahan.

Jumlah mangsa di Kuala Kangsar yang juga merangkumi kawasan Sungai Siput mencatatkan sedikit peningkatan kepada 2,842 orang daripada 677 keluarga berbanding 2,818 orang petang tadi.

Empat daripada 27 pusat pemindahan yang dibuka di Kuala Kangsar telah ditutup hari ini.

Jumlah mangsa yang terjejas di daerah Perak Tengah semakin meningkat berikutan paras banjir semakin naik apabila hujan berterusan hari ini.

Setakat malam ini, sebanyak 2,056 daripada 551 keluarga dipindahkan ke 14 pusat pemindahan di daerah itu.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir turut meningkat, apabila sehingga 7.30 malam ini, 76 orang daripada 14 keluarga di daerah Padang Terap dipindahkan ke pusat pemindahan berbanding tidak sampai 60 orang setakat 2 petang tadi.

Penolong Setiausaha Tentera Majlis Keselamatan Negara Kedah Mejar Mohd Radzi Abd Hamid berkata kawasan-kawasan yang terlibat adalah Kampung Chepa, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Baru Lubuk Merbau dan Kampung Dusun.

"Setakat ini, hanya dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Kampung Chepa bagi mangsa di Kampung Chepa manakala satu lagi adalah Dewan Petunas Lubuk Merbau yang menempatkan mangsa dari tiga kampung," katanya ketika dihubungi.

Di PERLIS, keadaan banjir mulai surut dengan jumlah mangsa yang masih berada di pusat-pusat pemindahan berkurangan kepada 256 orang sehingga pukul 8 malam ini.

Bilik Operasi Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis melaporkan sebuah pusat pemindahan yang menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga ditutup lewat petang ini.

Dengan penutupan pusat pemindahan di Taman Seri Pilihan, Sena itu, kini hanya empat pusat pemindahan yang masih beroperasi iaitu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, Dewan orang ramai Padang Malau dan Dewan Beseri Dalam.

-- BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post