Breaking News

Anak-anak benarkan Amelina berdangdut semula, tapi...

loading...
KUALA LUMPUR : Berpegang kepada amanat anak-anak, airmata penyanyi dangdut Amelina mengalir tatkala bercerita mengenainya.

Anak-anak benarkan Amelina berdangdut semula, tapi...
Anak-anak benarkan Amelina berdangdut semula, tapi...

Pesan mereka supaya Amelina tidak tersasar dari tujuan utama kemunculan semulanya ke persada seni.


Bercerita mengenai perkara tersebut dalam satu temubual eksklusif bersama Astro AWANI, Amelina berkata anak-anaklah orang pertama yang diberitahu mengenai hasratnya untuk menyanyi semula.

“Pertama sekali saya jelaskan pada anak-anak, saya perlu beritahu apa sebabnya saya menyanyi semula.

Alhamdulillah mereka semua faham dan turut berpesan agar saya jaga diri serta tidak tersasar dari landasan iaitu tujuan utama kembali ke bidang ini. Pesanan itu yang saya pegang,” cerita Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin tanpa dapat menahan air mata.

Bagaimanapun, Amelina lebih senang merahsiakan sebab utamanya kembali ke persada seni dan merasakan ia terlalu privasi untuk dikongsikan.

Apa yang pasti, Amelina begitu rindu untuk menyanyi dan menghiburkan peminat setianya.

Dikurniakan enam orang anak, Amelina, 40 yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ratu dangdut Malaysia berkata pada mulanya anak-anak tidak tahu yang ibunya dahulu adalah seorang penyanyi.

“Pada mulanya mereka ada terdengar lagu ‘Rindu’, mereka kata lagu itu sedap. Tapi saya malu nak mengaku. Lama-kelamaan apabila mereka dah besar sikit, saya mula bercerita tentang siapa 'Amelina'” katanya yang mempunyai empat orang anak lelaki dan dua orang perempuan.

Anak perempuannya yang sulung kini sudah berusia 13 tahun dan yang bongsu berumur lima tahun.

Mengimbas kembali 15 tahun dahulu, Amelina sedang berada di kemuncak kerjayanya dan pernah menerima anugerah Album Pop Tradisional Terbaik untuk album Asyik di Anugerah Industri Muzik ke tiga.

Telah menghasilkan empat album sejak tahun 1994 sehingga 1999, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini ketika itu sangat popular dengan lagu Rindu, Asyik, Semakin Rindu Semakin Asyik, Sri Langkat dan banyak lagi.

Namun Amelina redha dan menganggap pengundurannya dari bidang seni adalah ketentuan yang telah ditetapkan Ilahi.

“Benar, kalau ikut logik siapa akan tinggalkan kerjaya bila ketika itu telah berada di kemuncaknya. Saya tak mahu terlalu fikirkan kenapa. Saya redha dan apa yang terjadi ini adalah suratan Ilahi.

Tapi saya bangga, sepanjang 15 tahun saya menyepikan diri, Tuhan beri saya peluang untuk membesarkan sendiri enam orang anak saya di hadapan mata” jelasnya.

Amelina turut mengakui, ketika dia ‘hilang’ begitu banyak kontroversi yang timbul mengenai dirinya.

“Saya mengaku ketika itu saya berkahwin tanpa restu keluarga. Banyak cerita mengenainya mula muncul dan pada masa yang sama ramai yang mencari saya.

Pada mulanya saya senyap kerana mahu keadaan reda, tapi lama-kelamaan semakin banyak spekulasi yang timbul. Dengan berat hati, saya memberi penjelasan kepada sebuah majalah bahawa saya mahu mengundur diri dari bidang seni, kerana itu jalan yang baik dalam menyelamatkan rumah tangga saya dan sejak itu saya mula senyap dari bidang ini” kata Amelina yang mendirikan rumah tangga ketika berusia 27 tahun.

Amelina turut berkongsi bahawa rakan baiknya, Erra Fazira adalah orang pertama yang ditemui selepas sebulan berita kehilangannnya untuk memperjelaskan segala-galanya.

"Ramai yang tak tahu, sebulan selepas saya senyap, saya jumpa Erra. Dengan dia saya beritahu semuanya. Mungkin oleh kerana ketika itu saya sudah jadi isteri orang dan selepas itu sangat tertumpu pada anak-anak, itu yang menyebabkan hubungan saya dan rakan-rakan sudah tidak serapat dahulu" cerita Amelina panjang lebar.

Selain itu, Amelina turut berkongsi mengenai single terbarunya iaitu lagu 'Rindu' yang diberi nafas baru berirama 'progresif etnik'.

Dia khabarnya bakal mengeluarkan album penuh dengan kerjasama komposer Ajai pada Januari ini.

Ikuti video temubual penuh dalam mengimbau kisah 15 tahun dahulu bersama Amelina.

Sumber : PilihanAnda
loading...
loading...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments