Header Ads

Berbakti kepada ibu bapa tunai kewajipan

loading...
Islam telah mendidik dan menyeru umatnya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa sepanjang hayat mereka. Ini kerana begitu besar jasa dan pengorbanan mereka semenjak kita dilahirkan sehingga menjadi anak yang soleh dan solehah.

Berbakti kepada ibu bapa tunai kewajipan
Berbakti kepada ibu bapa tunai kewajipan

Sesungguhnya baginda Nabi s.a.w telah menjelaskan sejelas-jelasnya kedudukan ibu dalam hadis ketika baginda ditanya tentang siapakah yang lebih berhak untuk berbuat baik dan didampingi.



Maka baginda s.a.w menjawab: “Ibu kamu”. Kandungan hadith ini menjelaskan ibu itu tiga kali lebih diutamakan dari seorang ayah dalam berbuat kebajikan. hal ini kerana pelbagai dugaan mahupun cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang masa ketika hamil, kemudian tatkala melahirkannya, sewaktu menyusukan anaknya seperti yang digambarkan dalam firman Allah s.w.t: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. (Ahqaf: 15)

Ibu merupakan seorang insan yang telah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan sanggup bertarung nyawa melahirkan kita di muka bumi ini. manakala seorang bapa bekerja keras siang dan malam mencari rezeki semata-mata untuk menjaga dan memenuhi keperluan seorang anak. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri dan menghadapi pelbagai cabaran demi masa depan anak-anak. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan dan tanggungjawab seorang anak untuk menjaga dan memelihara kedua orang tua dan berdosa besar bagi anak-anak yang melupakan dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu.” (surah al-isra’ ayat 23)

Sudah jelas tertulis di dalam al-Quran bahawa anak-anak wajib berbuat baik kepada orang tua dan dilarang sama sekali meninggikan suara atau menengking ibu bapa walaupun hanya menyebut perkataan ‘uhh’ ataupun ‘ah’.

Dalam pada itu juga, sebagai seorang anak tidak sepatutnya mereka menghantar ibu bapa yang telah lanjut usia ke rumah-rumah orang tua atau rumah kebajikan. Anak-anak hendaklah menjaga sendiri keperluan ibu bapa dan tidak menjadikan ibu bapa mereka sebagai bebanan. Ibu bapa amat memerlukan layanan, perhatian dan belaian kasih sayang daripada anak-anak sebagaimana anak-anak memerlukan kasih sayang semasa masih kecil.

Kesibukan bekerja bukanlah alasan untuk anak-anak tidak menjaga kebajikan ibu bapa mereka dirumah. Lantas mereka lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap ibu bapa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ibu bapa mereka di dalam hati. Sebagai anak yang soleh anak-anak haruslah pandai membahagikan masa bekerja dan masa untuk bersama keluarga. Kita dapat lihat kegembiraan di wajah orang tua apabila melihat anak-anak yang disayangi balik menziarahi mereka di kampung. Walaupun mereka tidak pernah menyuarakan keinginan untuk bersama anak-anak namun jauh di dalam hati orang tua kita bahawa mereka amat mengharapkan perhatian dari anak—anak.

Namun kita dapat lihat sekarang segelintir anak-anak semakin melupakan tanggungjawab terhadap orang tua mereka kerana leka dengan pangkat dan kerjaya yang dimiliki. Mereka hanya menjenguk ibu bapa di kampung setahun sekali iaitu pada hari raya Aidilfitri. Terdapat juga anak-anak yang tiada masa langsung menziarahi ibu bapa mereka. Kita boleh bayangkan betapa sedihnya perasaan orang tua apabila anak-anak yang dikandung bagai menatang minyak yang penuh seakan-akan melupakan kewujudan mereka.

Berkata Ka’ab al-Akhbar r.a: “Sesungguhnya Allah s.w.t menyegerakan kebinasaan seseorang hamba apabila dia menderhakai kedua ibu ayahnya, disegerakan baginya azab. Dan Allah akan menambah usia (memanjangkan usia) seorang lelaki apabila dia berbuat baik kepada kedua ibu ayahnya untuk dia menambahkan kebaikan dan kebajikan. Dan di antara kebaikan kepada keduanya ialah dengan kita menghulurkan nafkah apabila diperlukan oleh mereka berdua”.

Terdapat banyak peristiwa yang menimpa diri seseorang apabila menderhaka kepada ibu bapanya. Antaranya adalah peristiwa yang telah menimpa Alqamah. Alqamah merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW dan beliau adalah hamba yang rajin dan taat beribadah kepada ALLAH SWT. Namun di saat kematiannya, beliau tidak dapat melafazkan kalimah syahadat disebabkan perbuatan yang telah mengguris hati ibunya demi menjaga hati isterinya. Alqamah terlepas daripada azab sebaik sahaja ibunya memaafkan segala perbuatannya yang lalu. Oleh itu, hendaklah kita jadikan peristiwa Alqamah ini sebagai pengajaran dan iktibar supaya tidak melupakan tanggungjawab kita kepada ibu bapa walaupun sudah memiliki keluarga sendiri.

Ingatlah wahai orang mukmin sekalian, kejayaan kita pada hari ini adalah atas keberkatan doa ibu bapa. Kejayaan di dunia hanyalah sementara dan tidak akan menjamin kehidupan kita di akhirat kelak. Maka berbaktilah kepada ibu bapa selagi mereka masih bernyawa dan pohonlah kemaafan kepada mereka sebelum terlambat kerana penyesalan nanti hanya akan menjadi sia-sia.
Loading...

No comments

Powered by Blogger.